Tuesday 14 October 2014

Pengenalan

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Inilah cerita mengenai program diploma Pengurusan Perniagaan di KV Dato' Lela Maharaja (D'LEMA).

Diploma Pengurusan Perniagaan mensasarkan untuk meningkatkan dan memperkayakan pengetahuan pelajar merentasi pelbagai disiplin perniagaan dan membantu untuk menyediakan pelajar untuk menghadapi cabaran kerjaya dalam perniagaan kontemporari. Ini adalah satu bidang dinamik pengajian bagi pelajar-pelajar yang ingin membangunkan kemahiran dalam pelbagai kajian seperti pentadbiran, pengurusan sumber manusia, perakaunan,
kewangan, pemasaran, insurans, perbankan dan juga keusahawanan. Disebabkan sifat fleksibel rangka kerja kursus, pelajar mampu untuk memilih laluan yang sesuai untuk kepentingan mereka, sama ada untuk memasuki pasaran pekerjaan atau untuk melanjutkan pengajian mereka dalam pelbagai program perniagaan. 
Di semester 8, pelajar perlu menjalani latihan di tempat kerja (On Job Training) selama 3 bulan bagi meningkatkan kemahiran yang telah diperolehi semasa di kolej ke tempat kerja yang sebenar.
Perkembangan pesat ekonomi negara membuka peluang yang luas kepada lulusan kv termasuk bidang Pengurusan Perniagaan. Apatah lagi dengan perkembangan teknologi maklumat di negara ini telah meningkatkan peranan bidang ini khususnya dan aspek pengurusan dan pentadbiran sesebuah organisasi.
Program pengurusan perniagaan yang ditawarkan di kv ini bertujuan menghasilkan pelajar-pelajar yang arif tentang amalan perniagaan dan pentadbiran serta mempunyai pengetahuan mendalam di dalam bidang ini.
Hasratnya ialah untuk melahirkan tenaga profesional yang cemerlang yang dapat menterjemahkan teori kepada amalan dan seterusnya berkebolehan mengenal pasti dan menyelesaikan masalah-masalah pengurusan dan perniagaan.
Dengan kata lain, program ini akan melahirkan pelajar-pelajar yang dapat memikul tugas-tugas sebagai seorang pengurus, perunding, pentadbir atau usahawan yang berkaliber serta profesional yang berkesan, cekap dan berhemah tinggi.
Sebenarnya bidang ini merangkumi skop yang luas atau banyak pengkhususan untuk pelajar membuat pilihan. Di antara kursus-kursus yang popular ditawarkan oleh universiti dan IPT tempatan ialah pengurusan, pemasaran, kewangan, perakaunan, pentadbiran perniagaan, insurans dan perdagangan antarabangsa. Pelajar boleh mengkhusus dalam salah satu bidang tersebut.
Semasa pengajian pelajar akan mengikuti kursus-kursus termasuk pengurusan, perakaunan, kewangan, kuantitatif, pemasaran, insurans, ekonomi, ekonomi Islam, undang-­undang perniagaan serta kursus lain yang berkaitan.
Lulusan di bidang ini mempunyai peluang kerjaya yang banyak sama ada di sektor awam atau swasta termasuk bank, institusi kewangan, industri, perkilangan, perkhidmatan, pengangkutan dan pelancongan, atau memulakan perniagaan tersendiri.
Kerjaya yang sesuai termasuk eksekutif perjawatan, eksekutif sumber manusia, pemasaran, pelaburan, pen­tadbiran, pengurusan, perniagaan antarabangsa, kewangan, tenaga pengajar, pensyarah dan usahawan.
CIRI-CIRI PERIBADI YANG DIPERLUKAN
(i) Meminati bidang ini
(ii) Mempunyai pengetahuan di bidang pengurusan dan perniagaan
(iii) Mempunyai pengetahuan di bidang ekonomi
(iv) Sentiasa mengikuti perkembangan dunia perniagaan dan ekonomi
(v) Menguasai ilmu matematik
(iv) Mahir mengendalikan komputer
(vi) Tiada gagal

No comments:

Post a Comment